Rabu, 8 September 2010


Semoga alunan Al-Asma'ul Husna ini dapat memberi sedikit ketenangan.....

Sabtu, 8 Mei 2010

"Satu masalah yang timbul di seluruh dunia, di seluruh dunia Islam, ditimbulkan oleh musuh Islam ialah mengasingkan hidup daripada peraturan Allah...."
MB Kelantan

Ahad, 18 Oktober 2009

Sekadar renungan.....


Berpolitik tidak kena mengena dengan akhirat?

SOALAN: Ada pandangan mengatakan masalah berpolitik dalam mana-mana pertubuhan politik adalah masalah duniawi dan tidak ada kena mengena dengan akhirat. Perkara dunia habis di dunia, itulah realitinya. Oleh kerana itu tidak timbul soal parti politik mana harus diikut, mana yang harus ditolak, semuanya sama, apa pandangan Dato? MOHD MUNIR (menerusi e-mel)

JAWAPAN: Tidak. Sama sekali tidak begitu. Islam adalah panduan hidup. Islam adalah cara hidup. Islam yang sebenar adalah yang tidak memisahkan di antara urusan dunia dan urusan akhirat.

Kedua-duanya berjalan serentak. Ianya bergandingan antara satu sama lain. Dunia adalah jambatan ke akhirat, apa yang anda lakukan di dunia ini, akan diambil kira di akhirat.

Itulah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): "Maka sesiapa berbuat kebajikan meskipun seberat zarrah, nescaya akan diberi balasan di akhirat. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, meskipun seberat timbangan zarrah, akan diberi balasan di akhirat." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kerja-kerja manusia di dunia ini hanya ada dua jenis sahaja. Sama ada kerja baik atau kerja jahat.

Kerja politik pun demikian juga. Ada politik baik dan ada politik jahat.

Kerja politik adalah kerja besar dan berat. Guna dan kesannya juga amat besar.

Ada orang yang seluruh hidupnya dihabiskan dalam berpolitik, siang dan malam berpolitik. Maka rugilah dia jika Allah tidak mengambil kira perjuangan dan pengorbanannya itu, jika ia melakukan politik yang baik.

Dan, tidak adillah kepada Allah SWT jika dibiarkan orang yang melakukan politik jahat itu terus bermaharaja lela dan tidak dibalas di akhirat.

Kuasa politik adalah kuasa yang menentukan hala tuju negara. Rakyat akan terbawa ke dalam penghidupan yang diwarnakan orang politik yang diberi kuasa oleh rakyat.

Jika politik yang mementingkan parti dan kroni, maka untunglah yang mendapat habuan, manakala yang lain-lain akan menderita.

Jika politik yang jujur serta ikhlas, berjuang untuk mengajak manusia memartabat dan melaksanakan hukum Allah, melaksanakan perintah Allah sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka akan untunglah insan yang akan mendapat ganjaran di akhirat.

Sekiranya politik itu zalim, yang berkuasa menindas rakyat dan mementing diri sendiri serta sanggup melakukan kezaliman, penindasan dan sebagainya, maka tentulah ada pembalasan di akhirat, atas perbuatan yang melanggar tatasusila dan undang-undang kemanusiaan yang wajib dipelihara.

Meskipun sudah ada penjelasan dalam media massa tentang Islam itu sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan tidak berpisah antara urusan dunia dan akhirat, tiada pemisahan itu dalam Islam, namun kekeliruan masih ketara.

Saya cadangkan bagi mereka yang meragui tentang hakikat ini, merenung kembali kepada ikrar dalam solat kita hari-hari yang dibaca dalam doa iftitah (mafhumnya): "Sesungguhnya solatku, ibadatku, cara hidupku dan matiku, semuanya dilakukan untuk Allah, Tuhan sekelian alam."

Setiap kali solat kita membuat pengakuan mutlak bahawa seluruh hidup kita semuanya kerana Allah, tidak ada yang lain hanya semata-mata kerana Allah.

Berpolitiklah untuk Allah, bukan kerana dunia. Meskipun urusan di dunia, tetapi hendaklah kerana Allah. Berpolitik melalui jalan yang diredai Allah.

Jika anda terbabit dengan politik yang menentang hukum Allah atau politik yang hendak dicapai itu bukan untuk memartabatkan agama Allah, maka ianya berlawanan dengan sifat manusia yang dijadikan sebagai khalifah Allah.

Oleh yang demikian, anda akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang anda lakukan.

Penderhakaan terhadap Allah adalah suatu jenayah agama yang amat besar. Allah mengingatkan kita dengan perintah-Nya seperti firman-Nya (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Jika sudah sesat maka Allah menyatakan lagi (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya disediakan di akhirat kelak neraka jahanam yang kekal mereka di dalamnya buat selama-lamanya." (Surah al-Jin, ayat 23)

Oleh kerana itu, berpolitiklah dengan politik yang betul, bukan main tangkap muat atau terikut-ikut atau terpengaruh dengan pujukan ahli-ahli politik yang tidak berpendirian.

Anda ada panduan yang boleh menentukan sendiri politik yang sebenar, mana yang memberi keuntungan dunia dan di akhirat, atau pun sekurang-kurangnya anda akan memperolehi keuntungan di akhirat jika anda berpolitik untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang suci murni. Wallahu a'lam.

Dr Haron Din
Fri | Mar 27, 09 | 10:23:32 am

Ahad, 23 Ogos 2009

Kurangkan Ketawa, Banyakkan Menangis!

Firman Allah SWT melalui ayat 82 surah at-Taubah bermaksud: "Maka bolehlah mereka (golongan munafik) ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan (semasa hidup di dunia)." Dan dalam ayat 60 surah an-Najm yang bermaksud: "Maka mengapa kamu ketawa dan tidak menangis?"

Mesej daripada maksud dua potong ayat di atas walaupun pendek, sarat dengan pelbagai pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, betapa Allah SWT mencemuh golongan munafik yang boleh disifatkan sebagai golongan yang mana hidup mereka penuh dengan kepura-puraan.

Sesungguhnya kedua-dua ayat berkenaan di atas ditujukan kepada golongan munafik yang banyak mempersendakan kebenaran ayat-ayat al-Quran ataupun pengajaran daripada hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Mereka merupakan golongan yang menzahirkan luaran mereka sebagai orang Islam, tetapi pada sanubari mereka menyatakan kebencian yang amat sangat terhadap Islam, lebih dahsyat daripada orang bukan Islam.

Mereka menyatakan kononnya mahu melakasana dan menegakkan hukum-hukum Islam, tetapi pada masa yang sama menyubur serta memperbanyakkan program-program maksiat melalui penganjuran sitcom-sitkom gelak ketawa, malah dipertandingkan seperti 'Rajalawak'/'Lawaking' yang mahu mengajak penonton supaya banyak ketawa dan menangis sedikit.

Tidak ada program lawak yang mengajak manusia untuk berfikir pada alam akhirat atau menyebabkan mereka menangis. Tetapi yang jelas bahawa mereka diajak untuk ketawa hingga lupa tugas sebenar untuk beriman kepada Alla SWT, sesungguhnya terdapat pandangan di kalangan ulama kontemporari hari ini yang menegaskan bahawa umat Islam adalah umat serius yang mempunyai tanggungjawab besar menyeru manusia sejagat untuk kembali kepada fitrah mereka iatu menyembah Allah - Tuhan segala manusia.

Apa yang jelas jika ciri-ciri golongan munafik ada dalam diri insan Muslim, ia boleh dianggap sebagai satu musibah besar, kerana ciri-ciri tersebutlah yang akan mengundang kemarahan Allah dan sudah pasti tidak akan berjaya mendapatkan pertolongan Nabi Muhammad pada hari akhirat kelak.

Perkara ini ada ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 145 surah an-Nisaa yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka."

Berdasarkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w mengatakan:

Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga keadaan.

* Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta.

* Kedua, apabila berjanji, dia mengingkari.

* Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia mengkhianatinya.

Apabila dilihat kepada maksud pengisian yang ada dalam hadis baginda di atas, kita dapat simpulkan bahawa masih terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang sanggup berdusta semata-mata untuk mencapai impian dalam hidup mereka.

Mereka tidak mempedulikan larangan Allah atau suruhan-Nya, yang dilarang itulah menjadi keutamaannya untuk dilakukan, sedangkan suruhan Allah diabaikan. Gambaran ini dapat dilihat secara jelas, sebagai contoh penyertaan individu Muslim dalam program yang dilarang seperti Rajalawak, ia menjadi pilihan dan kesukaan ramai manusia hari ini, pada masa yang sama ramai juga yang meninggalkan solat kerananya.

Begitu juga individu Muslim yang berbuat janji, apatah lagi janji mereka kepada Allah seperti dalam lafaz yang diungkapkan dalam solat, sesungguhnya hidupku, matiku dan seluruh amal ibadatku adalah hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.

Tetapi selepas solat, banyak perkara yang dijanjikan itu disanggah secara langsung atau tidak langsung, ramai Muslimat yang solat dengan pakaian kain telekung yang mencantikkah penampilan mereka, tetapi ramai juga di kalangan mereka mendedahkan aurat atau menampakkan rambut mereka di hadapan khalayak lelaki.

Begitu juga dengan amanah yang diberi, terutamanya amanah sebagai manusia Islam yang diwajibkan untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dalam erti kata sebenarnya. Tetapi ia hanya seruan yang tertinggal di atas mimbar oleh khatib pada setiap hari Jumaat, ia tidak digarap dengan baik oleh para jemaah, amanah untuk membangun bersama Islam tidak ditepatinya. Amanah untuk mendaulatkan Islam juga hanya retorik semata-mata, kesemua agenda hidup tidak berteraskan untuk kurangkan ketawa dan menangis banyak kerana takut kepada Allah.

Program-program kuliah dan ceramah di masjid-masjid atau surau-surau kebanyakannya dihadiri oleh golongan pesara walaupun terdapat golongan muda atau remaja, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Mungkin kempen kepada golongan ini untuk ke masjid atau surau tidak dikuat-kuasakan oleh pihak berkuasa, sebab mereka pun tidak terfikir untuk ke masjid atau surau, tetapi kempen untuk program ketawa seperti �Jomheboh� dan lain-lain dipromosikan dengan hebat sekali, sebab yang berkempen pun akan menyertainya.

Kepada mereka dibacakan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Kemanisan di dunia akan memahitkan nanti di akhirat, dan apa-apa yang memahitkan di dunia akan memaniskan seseorang itu di akhirat."

Sesuatu yang manis pasti akan menggembirakan seseorang, seperti kerap makan durian yang sedap dan enak, tetapi ia akan menjadikan seseorang itu mungkin akan terkena obesiti dan kencing manis, berbanding dengan ubat periuk yang pahit, bagi pengamal yang sering meminumnya walaupun tidak sedap, tetapi ia menjanjikan kesihatan yang baik.

Begitulah sebaliknya bagi mereka yang mengutamakan yang pahit, maksudnya menjalani proses hidup sebgai Muslim yang beramal dengan solat lima kali sehari semalam. Ia menjadi manis bagi orang biasa buat, tetapi ia dianggap pahit atau sukar untuk dilakukan bagi mereka yang tidak biasa atau golongan yang memiliki ciri-ciri orang munafik.

Apapun semua yang pahit itu sebenarnya akan membahagiakan seseorang itu nanti di alam akhirat, termasuklah berada dalam jemaah yang berteraskan Islam. Untuk memajukan Islam sebagai cara hidup bukanlah satu perkara yang mudah, namun ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi dan kewarasan pemikiran untuk mendapatkan syafaat (rekomendasi) daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat kelat, Insya-Allah. Yang penting banyakkan menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Ustaz Zainudin Hashim
Isnin 27.04.2009 10:59:19

Jumaat, 24 Julai 2009

Perjalanan penuh hikmah...

Assalamu'alaikum!

Sebagai umat Islam marilah kita sama-sama mengambil i'tibar daripada peristiwa yang amat istimewa berlaku ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Al-Isra' Wal Mi'raj...

Tidak dapat dinafikan bahawa hikmah yang paling besar daripada peristiwa tersebut ialah kefardhuan solat lima waktu. Jangan sesekali kita melupai kepentingan melaksanakan ibadah ini. Beribu hikmah menanti kita jika melaksanakannya dengan penuh khusyu'...

Para remaja sedarlah dari lamunanmu. Usahlah dibuai dengan keasyikkan hiburan yang tidak jemu dihidang oleh media massa. Jangan ingat pada keseronokan sahaja. Tujuan kita diutus ke dunia ini bukan sekadar untuk berhibur...

Ibu bapa usah lupa tanggungjawabmu. Guru pun begitu. Semua pihak harus sedar akan tanggungjawab masing-masing...

Sedarlah wahai sekian umat!
Powered By Blogger